KOTA KINABALU 7 Nov. - Sebuah pesawat Boeing 737-300 milik syarikat penerbangan AirAsia terbabas ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang itu, dua juruterbangnya cedera ringan, namun semua 116 penumpang termasuk lima anak kapalnya bagaimanapun terselamat.
Mangsa yang cedera diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini.
Gambar Tengok Kat Ikan Stim
Dalam insiden tersebut, pesawat penerbangan AK104 dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu itu terbabas di hujung landasan berikutan hujan lebat yang melanda sejak petang.
Berikutan kejadian itu juga, semua penerbangan keluar dan masuk di lapangan terbang tersebut ditunda buat sementara waktu.
Jurucakap keselamatan berkata, lima penerbangan yang dijadualkan berlepas dari Kota Kinabalu dibatalkan manakala pendaratan masuk dihalakan ke lapangan terbang berdekatan.
``Ini termasuk menghalakan pesawat supaya mendarat di Lapangan Terbang Sandakan dan Tawau,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian mendapati, roda hadapan pesawat itu patah manakala muncung pesawat rosak akibat terkena landasan.
Pesawat tersebut dilihat tersasar ke bahagian kiri landasan dengan keadaan bahagian hadapannya kelihatan menjunam ke landasan.
Sebanyak 30 petugas di lapangan terbang dikejarkan ke tempat kejadian dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta ambulans.
Kejadian itu berlaku kira-kira sejam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendarat di lapangan terbang tersebut untuk lawatan kerja setengah hari ke Kota Kinabalu.
Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Ziela berkata, ia merupakan pengalaman paling menakutkan di dalam dirinya.
``Saya sangka kami akan mati apabila seluruh pesawat bergoncang kuat sehingga pesawat itu berhenti di hujung landasan,'' katanya.
Seorang lagi penumpang, Raymond Dunker berkata, akibat kejadian itu seorang daripada tiga anaknya mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri.
``Ketika mendarat, dia (anak) terjatuh di tepi pintu kecemasan menyebabkan tangannya tercedera. Dua lagi anak saya yang lain masih terperanjat dengan insiden tersebut,'' katanya.
Sementara itu seorang saksi, Theresa Chong berkata, beliau nampak pesawat tersebut mendarat dalam keadaan tidak stabil.
Katanya, sejurus selepas mendarat beliau yang berada tidak jauh dari tempat kejadian melihat asap putih keluar dari perut pesawat.
``Selepas itu pesawat tersebut membrek kecemasan dan menyebabkan keluar asap hitam sebelum terbabas,'' katanya.
Di KUALA LUMPUR, AirAsia dalam satu kenyataan berkata, akibat hujan lebat dan cuaca buruk, pesawat AirAsia yang menuju Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur terbabas sedikit dari landasan ketika mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
``Ketika keluar dari pesawat, dua daripada penumpang mengalami cedera ringan. Kakitangan AirAsia memberikan respons serta-merta dan penumpang berkenaan dihantar untuk mendapatkan rawatan,'' kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memberitahu, semua penumpang lain selamat dan penerbangan AK 104 ketika itu membawa 110 penumpang, seorang bayi dan lima anak kapal.
Gambar Tengok Kat Ikan Stim
Sumber : http://utusan.com.my