Akhil Akan Saman Blogger "Zalim"

'Drama' sebabak demi sebabak tentang perjalanan hidup penyanyi dan penceramah Akhil Hayy yang baru melangsungkan perkahwinan dengan penyanyi dan pelakon Waheeda belum terhenti.
Sejak tersetusnya kes penceraian Akhil hinggalah berita pernikahannya dengan Waheeda menggemparkan industri seni tempatan, semuanya bagaikan sudah hilang sabar dengan pasangan ini.
Ada yang bertindak untuk memboikot mereka, tidak kurang juga yang melabelkan Akhil tidak layak digelar ‘ustaz’ mahupun ‘pendakwah’.
Atas sebab itu, tidak mustahillah lelaki ini berang sehingga bertindak untuk menyaman mana-mana blogger yang disyaki telah ‘menzaliminya’ dan Waheeda pada bila-bila masa.
"Sampai satu tahap nanti, saya akan saman blogger-blogger yang menulis cerita yang tidak baik tentang saya dan Waheeda.
"Sekarang, saya dan Waheeda dah menikah...samada mereka aibkan saya pada masa selepas atau sebelum berkahwin, kedua-duanya diambil kira.
"Kami tak pernah cari musuh, kenapa mereka reka cerita seperti itu? Jika orang lain dah rancang nak bercerai atau berkahwin lain, kenapa kita nak ganggu rumah tangga orang?
"Bak kata Rasulullah, kalau tak reti baik diam dan muhasabah diri masing-masing," kata Akhil yang bijak berkata-kata ini.
Jelasnya, dalam isu ini dia percaya Allah akan membalas setiap perbuatan manusia yang menzalimi dirinya dengan hanya berdoa kepada-Nya.
"Allah Maha Adil..jika hari ini kita kena, esok lusa kita tak tahu bagaimana.
"Ini perjalanan hidup dan kami bukannya membuat jenayah
"Terlalu banyak orang terlepas pandang dalam hal ini dan kami dizalimi.
"Mereka buat sehingga program ‘Cafe Akhil Hayy’ terpaksa direhatkan.
"Allah Taala akan memberi balasan kepada mereka dengan hanya melalui doa-doa kami kerana antara doa yang akan dikabulkan oleh Allah adalah doa orang yang dizalimi," katanya yang hadir seorang diri tanpa ditemani Waheeda yang berada di rumah kerana sakit gastrik.
Berkaitan program ‘Cafe Akhil Hayy’ yang khabarnya akan dihentikan, Akhil berkata dia menerima semua keputusan pihak Astro Oasis dengan hati yang terbuka.
"Itu Astro Oasis punya kerja. Saya tak kisah dan terpulang pada mereka. Bagi saya rezeki ini Allah yang tentukan. Jadi, saya terima setiap keputusan secara positif," ulasnya ringkas.
Menceritakan tentang kehidupannya selepas berkahwin kini, dia berkata semuanya berjalan dengan baik dan suasana ‘bulan madu’ mereka turut disertai oleh kaum keluarga.
"Alhamdulillah, perkahwinan ini telah merapatkan hubungan silaturahim antara dua buah keluarga kerana perkahwinan tak semestinya untuk diraikan oleh mempelai tetapi seluruh keluarga.
"Pada bulan puasa ini, kami lebih banyak berbuka di rumah kedua-dua belah mertua sehingga kami tiada ruang untuk berbuka berdua.
"Tiga hari pertama kami berbuka puasa di rumah mak saya di Gopeng, Perak dan tiga hari berikutnya di rumah mak dan bapa Waheeda," kata Akhil yang bercadang untuk mengerjakan umrah di Mekah dengan Waheeda sebagai lokasi bulan madu.
Bagi Akhil, mengerjakan umrah di Mekah merupakan tempat terbaik cuma mereka belum fikirkan tarikhnya kerana ‘belum sampai seru’.
Dia juga bersyukur apabila mendapat keluarga yang memahami dan sentiasa menyokong mereka dari belakang.
Bukan sahaja keluarga, malah begitu juga anak-anak Akhil yang memanggil Waheeda sebagai ‘mama’.
Mengenai pengumuman Waheeda hendak bersara dari dunia artis semasa hari pernikahan mereka, Akhil berkata keputusan Waheeda itu lahir daripada dirinya sendiri dan bukannya atas paksaan sesiapa.
"Bukan saya yang paksa dia untuk berhenti tetapi apabila dia membuat keputusan itu, saya hanya menyambutnya dengan sempurna,” katanya yang akan berhari raya di Gopeng dan Johor Bahru.
Ditanya mengenai kesihatan Waheeda selepas didakwa terkena buatan orang atau sihir, Akhil menjawab:
"Dia masih berubat dan keadaan dia kadangkala ‘ok’ dan kadangkala tidak. Saya harap orang yang membuat itu mendapat kesedaran."
Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang nanti, Akhil Hayy akan tampil dalam dua buah program raya yang disiarkan oleh Astro iaitu ‘Mega Raya Astro’ di Astro Ria, 19 September, Sabtu, 11 malam dan ‘1001 Inspirasi’ di Astro Oasis, 20 September, Ahad, 1.30 tengahari.
SUMBER - MSTAR
Salam Tulus Ikhlas,
Supermodel RM87 juta
| KURANG dua tahun lalu, secara terbuka Claudia Schiffer mengaku era supermodel sampai ke penghujungnya. Penerbit majalah dan pengeluar barangan kosmetik tidak lagi bergantung kepada kelompok supermodel untuk memasarkan produk mereka, sebaliknya beralih kepada selebriti. |
KURANG dua tahun lalu, secara terbuka Claudia Schiffer mengaku era supermodel sampai ke penghujungnya. Penerbit majalah dan pengeluar barangan kosmetik tidak lagi bergantung kepada kelompok supermodel untuk memasarkan produk mereka, sebaliknya beralih kepada selebriti.
Sejak itu, terlalu banyak perubahan berlaku. Ketika majalah fesyen dan pemilik jenama berprestij menggunakan daya tarikan pada aktivis muzik dan filem, supermodel pula semakin kurang bergaya di pentas peragaan.
Namun, ia tidak bermakna kehidupan mereka suram sepenuhnya. Malah, kebanyakan supermodel tetap menjana pendapatan lumayan walaupun kaedahnya atau sumbernya agak berbeza.
Contoh terbaik ialah Heidi Klum. Walaupun berusia 35 tahun dan melahirkan tiga anak, pendapatan Heidi tetap stabil hasil perolehan daripada pembabitannya dalam program televisyen dan kontrak perniagaan.
Dia juga kekal sebagai anggota promosi syarikat pakaian dalam wanita, Victoria’s Secret, selain menjadi hos rancangan realiti televisyen, Germany’s Next Top Model.
Supermodel yang mencatatkan pendapatan tertinggi pada tahun ini ialah Gisele Bündchen.
Dianggarkan memperoleh RM87.4 juta hasil pembabitannya dalam kempen barangan berjenama seperti Versace, jeans True Religion, Dior dan jam Ebel.
Peragawati berasal dari Brazil itu juga unik kerana kecantikannya digunakan tidak terhad kepada barangan eksklusif, sebaliknya dimanfaatkan untuk produk bagi pasaran biasa. Popularitinya pula dianggap setanding dengan bintang filem.
Berikut adalah 10 supermodel yang mendapat bayaran tertinggi hasil anggaran perolehan di antara Jun 2008 hingga Jun tahun ini.
1. Gisele Bündchen (RM87.3 juta)
SEKALI lagi jelitawan Brazil ini mengekalkan kedudukan sebagai model terkaya sepanjang tahun walaupun dia tidak lagi menjadi peragawati untuk syarikat pengeluar pakaian dalam wanita, Victoria’s Secret.
Cuma, Gisele menambah koleksi kontrak peragaannya daripada sekadar mempromosi Versace, jeans True Religion, Dior dan jam Ebel, kini dia turut digunakan gedung beli-belah Rampage.
Di sebalik perhatian diberi terhadap perkahwinannya dengan bintang bola sepak Amerika, Tom Brady, pada Februari lalu, Gisele, 28, masih mampu mendapat tempat sebagai penghias muka depan majalah Vanity Fair.
2. Heidi Klum (RM55.9 juta)
DIA membesarkan tiga anaknya dan usia pula mencecah 35 tahun. Lazimnya, pada usia begitu, perhatian diberikan kepada model akan berkurangan.
Perkara sebaliknya berlaku kepada Heidi. Isteri penyanyi, Seal, ini tetap menjana pendapatan lumayan hasil pembabitannya dalam program realiti televisyen Jerman, Germany’s Next Top Model dan Project Runway.
Ketika menunggu kelahiran anak keempat, Heidi masih dikekalkan sebagai model Victoria’s Secret.
Jelitawan berasal dari Jerman ini juga mereka bentuk kasut jenama Birkenstock dan menandatangani kontrak untuk mempromosi Diet Coke, Volkswagen, McDonald’s dan LG.
Baru-baru ini, Heidi mengeluarkan produk perapian kulitnya, In An Instant.
3. Kate Moss (RM29.7 juta)
TAWARAN beberapa kontrak baru dan kejayaan produk Topshot menjadikan nasib Kate terus bertuah.
Walaupun dikritik kerana kelihatan semakin tua dan berisi, Kate, 25, tetap menikmati pelbagai kejayaan tahun lalu.
Wajahnya tetap dimanfaatkan Versace, Longchamp dan David Yurman.




4. Adriana Lima (RM28 juta)
IKON baru Victoria’s Secret ini terus menjadi perhatian dan mendaki tangga kegemilangan – kebanyakannya disebabkan kelebihan daya penarik seks (sex appeal) yang ada padanya.
Walaupun kontrak dengan pengeluar Maybelline berakhir hujung tahun ini, Adriana mengekalkan kedudukannya sebagai supermodel dengan sokongan diberikan Victoria’s Secret.
Model berasal dari Brazil ini mula mengukir nama selepas memenangi pertandingan Supermodel of the Year.
Adriana turut menjadi pelakon jemputan dalam siri televisyen, Ugly Betty pada tahun lalu. Berkahwin dengan pemain bola keranjang, Marko Jaric, Adriana mengumumkan dia kini hamil.
5. Doutzen Kroes (RM20.9 juta)
KONTRAKNYA dengan DeBeers akan tamat, tetapi model berusia 24 tahun ini tidak gusar kerana kekosongan itu diganti dengan tawaran daripada syarikat pengeluar jeans, Seven For All Mankind.
Model Belanda ini sering diingati kerana memiliki bibir menawan dan dinamakan sebagai peragawati terbaru Victoria’s Secret.
Wajah Doutzen turut dijadikan pelaris kosmetik, L’Oreal dan pewangi badan, Calvin Klein Eternity.
6. Alessandra Ambrosio (RM20.9 juta)
SEORANG lagi peragawati Victoria’s Secret, Alessandra kembali beraksi di pentas hanya tiga bulan selepas melahirkan bayinya.
Nama Alessandra mula dikenali apabila dipilih menjadi model jurucakap produk PINK keluaran Victoria’s Secret dan kini jelitawan Brazil ini menjadi satu daripada aset penting syarikat berkenaan.
Muzim gugur lalu, Alessandra, 28, melahirkan bayi pertamanya. Dia juga mengikat kontrak dengan rangkaian kedai C&A dan gedung beli-belah Mexico, Liverpool.
7. Natalia Vodianova (RM19.2 juta)
BARU saja dipilih pengeluar pakaian dalam wanita Perancis, Etam, Natalia masih berbakti kepada negara kelahirannya, Russia, dengan aktif dalam kegiatan kebajikan.
Pembabitannya dalam Yayasan Vodianova adalah contoh terbaik bagaimana seorang gadis melakar nama di persada dunia walaupun bermula di peringkat rendah.
Natalia, 27, lahir dan dibesarkan dalam keluarga miskin di Russia sebelum mampu berbangga dengan pencapaiannya sebagai model terkemuka.
Kini, dia menjadi model untuk Calvin Klein dan barang kemas Jacob & Co selepas menandatangani kontrak tiga tahun bersama Etam.
Selain menjadi duta Etam, Natalia turut diberi tanggung jawab mereka bentuk koleksi syarikat itu bagi setiap musim baru. Dia juga mengendalikan Yayasan Naked Heart yang aktif mengumpul dana untuk pembinaan padang permainan kanak-kanak di Russia.
8. Daria Werbowy (RM15.7 juta)
DARIA memulakan kerjaya sebagai model dengan memenangi satu pertandingan. Sejak itu dia mula mengukir nama sehingga wajahnya menjadi buruan banyak syarikat utama dunia, termasuk Lancome dan Louis Vuitton.
Walaupun menjadi warga Kanada, Daria lahir di Poland dan memiliki mata menggoda – sesuai bagi mempromosi produk jenama Balmain, H&M, Vogue Eyewear dan Roberto Cavalli.
Jun lalu Daria diterima menjadi tokoh terkemuka Kanada bersama ahli muzik, KD Lang dan pengarah filem, James Cameron.
9. Miranda Kerr (RM10.5 juta)
MODEL ini dikenali sebagai jelitawan Victoria’s Secret pertama dari Australia dan mula menjadi perhatian apabila wajahnya digunakan untuk melariskan jualan Maybelline.
Tahun lalu, Miranda menandatangani kontrak dengan XOXO, manakala awal tahun ini terbabit dalam kempen membantu mangsa kebakaran hutan Australia melalui program Australia Unites.
10. Carolyn Murphy (RM10.5 juta)
SATU-SATUNYA peragawati AS dalam senarai 10 supermodel terkaya tahun ini. Carolyn, 35, mengekalkan kedudukan dalam senarai hasil pendapatan daripada kontrak dengan Estée Lauder.
Carolyn juga menjadi wajah ikon fesyen AS. Kini berusia 35 tahun, majalah Playboy dan Sports Illustrated mungkin tidak lagi berminat padanya, namun kejayaannya bersama Estée Lauder memang mengagumkan.
Kekayaan Carolyn juga dijana daripada kontrak dengan Banana Republic dan Lord & Taylor.
Sabtu, November 21, 2009
nangka
, Posted in

