Kenali Punca Dan Bahaya Strok

Umumnya tidak ramai di kalangan masyarakat kita yang mengetahui tentang kaedah rawatan atau proses pemulihan sesuatu penyakit dengan mendalam. Sehingga dihidapi sendiri atau di kalangan ahli keluarga, baru ada kesedaran untuk mengkaji punca, kesan dan langkah mengatasinya.

Kurangnya matlamat atau pengetahuan berhubung sesuatu penyakit yang dihidapi itu sukar untuk dipulihkan atau sekurang-kurangnya diminimumkan. Bagi penyakit yang serius seperti strok atau lebih dikenali angin ahmar, pesakit sebenarnya berpeluang dipulihkan sekiranya mereka menjalani proses pemulihan yang betul, tepat dan cepat.

Meskipun proses pemulihan ini tidak dapat menjadikan keadaan pesakit kembali normal, sekurang-kurangnya ia membantu mengurangkan kompilasi akibat penyakit ini. Proses pemulihan yang tidak sempurna menyebabkan hampir sebahagian besar pesakit tidak dapat dipulihkan. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan peluang pesakit untuk pulih semakin nipis.

Fungsi otak terjejas

Pensyarah di Jabatan Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Raymond Azman Ali berkata, strok merupakan salah satu daripada penyakit gangguan fungsi otak yang berlaku secara tiba-tiba. Ia diakibatkan oleh salur darah otak yang tersumbat dan pecah seterusnya menyebabkan pendarahan. "Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan fungsi otak terjejas seperti fungsi otak yang berkaitan dengan percakapan, penglihatan dan pergerakan seseorang. Penyakit ini biasanya berlaku kepada individu yang berumur 45 tahun ke atas akibat beberapa faktor risiko. Ini termasuklah hipertensi, diabetes, tabiat merokok dan paras kolesterol yang tinggi," katanya.

Dr Raymond menjelaskan bahawa hipertensi atau tekanan darah tinggi ialah penyebab tunggal paling biasa bagi strok. Orang yang menghidap tekanan darah tinggi menghadapi risiko menghidap strok yang jauh lebih tinggi berbanding serangan jantung dan penyakit lain yang berkaitan. "Apabila tekanan darah meningkat, beban pada arteri dan salur darah turut meningkat. Secara beransur-ansur, beban ini akan menyebabkan arteri semakin keras dan sempit, satu proses yang dinamakan aterosklerosis. Arteri juga mungkin menjadi semakin lemah menyebabkan ia pecah. Akibatnya ialah serangan strok berdarah (strok hemoragik)," katanya.

http://www.utusan.com.my/pix/2008/0701/Utusan_Malaysia/Kesihatan/kn_02.1.jpg

Dr Raymond berkata, orang yang mengalami sakit jantung koronari berhadapan dengan risiko dua kali ganda lebih tingi berbanding orang sihat yang menghadapi strok. Jantung yang berdenyut secara tidak seragam atau yang bengkak, sama ada yang dengan injap yang sempit atau tidak berfungsi juga menjadi sumber gumpalan darah pada otak. Ini adalah satu proses yang dinamakan embolisme yang menjadi punca strok iskemia. "Strok iskemia ialah strok yang disebabkan oleh salur darah yang tersekat yang tiba-tiba memperlahankan atau menghentikan aliran darah ke otak," katanya.

Menurut beliau lagi, kencing manis, walaupun boleh dirawat juga meningkatkan risiko seseorang mengalami strok. Ini kerana kencing manis menyebabkan arteri mengalami arterosklerosis (mengeras dan menyempit) dan menjadi semakin lemah. Kombinasi penyakit kencing manis dan hipertensi meningkatkan lagi risiko bagi penghidap kencing manis.

Merokok juga satu faktor

Merokok juga satu lagi faktor risiko. Nikotin dan karbon monoksida dalam asap tembakau mengurangkan jumlah pengeluaran oksigen. Bahan-bahan ini juga merosakkan dinding salur darah, menyebabkan gumpalan terbentuk dan menyekat aliran darah. Namun demikian, punca strok daripada merokok boleh dicegah. Kajian terbaru menunjukkan bahawa tahap homosistin yang tinggi secara langsung meningkatkan risiko strok," jelas Dr Raymond.

http://novaku.files.wordpress.com/2006/12/kandungan_rokok.gif

Strok tidak mengenal usia. Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan bahawa usia memainkan peranan penting dalam profil pesakit strok. Walaupun strok boleh menyerang orang pada setiap peringkat usia, termasuk kanak-kanak di Malaysia, lebih daripada separuh mangsanya berusia 60 tahun.

Memandangkan proses penuaan tidak boleh dihentikan, warga tua boleh mengurangkan risiko dengan mengawal gaya hidup dan pemakanan mereka. Satu perkara yang menarik tentang penyakit ini ialah, walaupun strok lebih kerap berlaku di kalangan lelaki berbanding wanita, kebarangkalian wanita mati akibat strok lebih tinggi daripada lelaki. Penggunaan pil pencegah hamil dan kehamilan membawa risiko khusus kepada wanita.

"Keturunan dan bangsa ialah faktor yang turut boleh menentukan tahap risiko seseorang terhadap strok. Seseorang berisiko tinggi menghidap penyakit ini sekiranya salah seorang daripada ahli keluarga terdekat mengalaminya. Sepuluh peratus daripada kematian di negara-negara maju adalah disebabkan strok.

Di Amerika Syarikat, rakyat Amerika berkulit hitam lebih tinggi diserang strok berbanding penduduk berkulit putih. Di China pula, penyelidikan mendapati bahawa penduduk di bahagian utara China mempunyai kadar strok yang lebih tinggi berbanding dengan penduduk di bahagian selatan dan tengah China. Pemakanan mungkin menjadi salah satu sebab perbezaan tersebut.

Di Malaysia, pada tahun 1997 sahaja, 68.38 per 100000 populasi menghidapnya dan ianya tertinggi di kalangan penduduk berbangsa Cina, diikuti Melayu dan India. Dr Raymond turut menyatakan bahawa rawatan untuk strok adalah bergantung kepada penyebab strok itu sendiri.

Masalah saraf dan kelumpuhan akibat pendarahan atau kerosakan sel di otak biasanya sukar dipulihkan kecuali pada kes yang tidak begitu teruk. Di peringkat awal selepas berlaku strok, rawatan sokongan serta ubat tertentu diperlukan untuk mengelakkan kerosakan otak daripada lebih teruk. Amalkan gaya hidup sihat

Rawatan sokongan yang diberikan bergantung kepada tahap keterukan strok, di mana ia boleh terdiri daripada bantuan pernafasan, pemantauan status kardiovaskular, pemberian cecair yang diperlukan tubuh (bendalir intravena) serta jagaan kejururawatan. Di peringkat seterusnya, rawatan adalah lebih tertumpu kepada terapi rehabilitasi iaitu mengelakkan komplikasi akibat masalah kelumpuhan atau lemah anggota, cara penggunaan tandas, penyesuaian tabiat pemakanan serta sokongan emosi. Rawatan di peringkat ini memerlukan sokongan dari setiap anggota keluarga bagi memastikan individu berkenaan dapat menikmati kualiti hidup sebaik mungkin.

Menurut Dr Raymond lagi, penggunaan vitamin perangsang saraf otak mungkin digunakan walaupun kesan pemulihan dengan penggunaannya adalah tidak begitu menggalakkan. Secara keseluruhan, serangan strok mungkin boleh dicegah menggunakan pendekatan dua cabang iaitu pendidikan umum dan pengurusan faktor-faktor risiko.

Pendidikan kesihatan adalah penting dalam usaha menentang strok. Ramai yang masih jahil tentang perkara ini. Dalam hal ini, perkara penting yang perlu diubah ialah gaya hidup dan pemakanan. Ini termasuklah mengamalkan gaya hidup sederhana atau mengenepikan tabiat buruk seperti merokok atau minum alkohol serta mengelakkan tekanan dan berat badan berlebihan. Senaman selama 30 hingga 45 minit sangat penting untuk mengekalkan tahap kecergasan dan mengelakkan berat badan yang berlebihan.

http://whyquit.com/pr/Images/alcohol.jpg

Pemakanan yang seimbang dengan kandungan lemak dan karbohidrat sederhana membantu mengurangkan berat badan. Ini kerana berat badan berlebihan merupakan sebab utama kencing manis dan hipertensi. Pengambilan garam yang sederhana juga membantu mengurangkan tekanan darah. Elakkan juga daripada mengambil makanan yang mengandungi tahap kolesterol yang tinggi seperti daging merah, lemak dan produk susu.

Penjagaan kesihatan yang berterusan secara tidak langsung mengurangkan tahap risiko daripada diserang penyakit yang sering kali menjadi igauan golongan tua ini. Tidak terlambat untuk berusaha dari sekarang khususnya kepada generasi muda. Jangan sampai di usia tua, baru bermula. Jika tidak, usah diharap kita akan ditolong oleh anak-anak jika sudah terlantar di katil kerana ditakuti mereka menanti saat-saat kematian sahaja.

** Artikel ini adalah sebagai maklumat sahaja, Sila berjumpa Doktor bertauliah untuk memperolehi maklumat yang lebih tepat *

0 Response to "Kenali Punca Dan Bahaya Strok"

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme