Supermodel RM87 juta


KURANG dua tahun lalu, secara terbuka Claudia Schiffer mengaku era supermodel sampai ke penghujungnya. Penerbit majalah dan pengeluar barangan kosmetik tidak lagi bergantung kepada kelompok supermodel untuk memasarkan produk mereka, sebaliknya beralih kepada selebriti.

KURANG dua tahun lalu, secara terbuka Claudia Schiffer mengaku era supermodel sampai ke penghujungnya. Penerbit majalah dan pengeluar barangan kosmetik tidak lagi bergantung kepada kelompok supermodel untuk memasarkan produk mereka, sebaliknya beralih kepada selebriti.

Sejak itu, terlalu banyak perubahan berlaku. Ketika majalah fesyen dan pemilik jenama berprestij menggunakan daya tarikan pada aktivis muzik dan filem, supermodel pula semakin kurang bergaya di pentas peragaan.

Namun, ia tidak bermakna kehidupan mereka suram sepenuhnya. Malah, kebanyakan supermodel tetap menjana pendapatan lumayan walaupun kaedahnya atau sumbernya agak berbeza.


Contoh terbaik ialah Heidi Klum. Walaupun berusia 35 tahun dan melahirkan tiga anak, pendapatan Heidi tetap stabil hasil perolehan daripada pembabitannya dalam program televisyen dan kontrak perniagaan.

Dia juga kekal sebagai anggota promosi syarikat pakaian dalam wanita, Victoria’s Secret, selain menjadi hos rancangan realiti televisyen, Germany’s Next Top Model.

Supermodel yang mencatatkan pendapatan tertinggi pada tahun ini ialah Gisele Bündchen.

Dianggarkan memperoleh RM87.4 juta hasil pembabitannya dalam kempen barangan berjenama seperti Versace, jeans True Religion, Dior dan jam Ebel.

Peragawati berasal dari Brazil itu juga unik kerana kecantikannya digunakan tidak terhad kepada barangan eksklusif, sebaliknya dimanfaatkan untuk produk bagi pasaran biasa. Popularitinya pula dianggap setanding dengan bintang filem.

Berikut adalah 10 supermodel yang mendapat bayaran tertinggi hasil anggaran perolehan di antara Jun 2008 hingga Jun tahun ini.




1. Gisele Bündchen (RM87.3 juta)

SEKALI lagi jelitawan Brazil ini mengekalkan kedudukan sebagai model terkaya sepanjang tahun walaupun dia tidak lagi menjadi peragawati untuk syarikat pengeluar pakaian dalam wanita, Victoria’s Secret.

Cuma, Gisele menambah koleksi kontrak peragaannya daripada sekadar mempromosi Versace, jeans True Religion, Dior dan jam Ebel, kini dia turut digunakan gedung beli-belah Rampage.

Di sebalik perhatian diberi terhadap perkahwinannya dengan bintang bola sepak Amerika, Tom Brady, pada Februari lalu, Gisele, 28, masih mampu mendapat tempat sebagai penghias muka depan majalah Vanity Fair.



2. Heidi Klum (RM55.9 juta)

DIA membesarkan tiga anaknya dan usia pula mencecah 35 tahun. Lazimnya, pada usia begitu, perhatian diberikan kepada model akan berkurangan.

Perkara sebaliknya berlaku kepada Heidi. Isteri penyanyi, Seal, ini tetap menjana pendapatan lumayan hasil pembabitannya dalam program realiti televisyen Jerman, Germany’s Next Top Model dan Project Runway.

Ketika menunggu kelahiran anak keempat, Heidi masih dikekalkan sebagai model Victoria’s Secret.

Jelitawan berasal dari Jerman ini juga mereka bentuk kasut jenama Birkenstock dan menandatangani kontrak untuk mempromosi Diet Coke, Volkswagen, McDonald’s dan LG.

Baru-baru ini, Heidi mengeluarkan produk perapian kulitnya, In An Instant.



3. Kate Moss (RM29.7 juta)

TAWARAN beberapa kontrak baru dan kejayaan produk Topshot menjadikan nasib Kate terus bertuah.

Walaupun dikritik kerana kelihatan semakin tua dan berisi, Kate, 25, tetap menikmati pelbagai kejayaan tahun lalu.

Wajahnya tetap dimanfaatkan Versace, Longchamp dan David Yurman.



4. Adriana Lima (RM28 juta)

IKON baru Victoria’s Secret ini terus menjadi perhatian dan mendaki tangga kegemilangan – kebanyakannya disebabkan kelebihan daya penarik seks (sex appeal) yang ada padanya.

Walaupun kontrak dengan pengeluar Maybelline berakhir hujung tahun ini, Adriana mengekalkan kedudukannya sebagai supermodel dengan sokongan diberikan Victoria’s Secret.

Model berasal dari Brazil ini mula mengukir nama selepas memenangi pertandingan Supermodel of the Year.

Adriana turut menjadi pelakon jemputan dalam siri televisyen, Ugly Betty pada tahun lalu. Berkahwin dengan pemain bola keranjang, Marko Jaric, Adriana mengumumkan dia kini hamil.



5. Doutzen Kroes (RM20.9 juta)

KONTRAKNYA dengan DeBeers akan tamat, tetapi model berusia 24 tahun ini tidak gusar kerana kekosongan itu diganti dengan tawaran daripada syarikat pengeluar jeans, Seven For All Mankind.

Model Belanda ini sering diingati kerana memiliki bibir menawan dan dinamakan sebagai peragawati terbaru Victoria’s Secret.

Wajah Doutzen turut dijadikan pelaris kosmetik, L’Oreal dan pewangi badan, Calvin Klein Eternity.



6. Alessandra Ambrosio (RM20.9 juta)

SEORANG lagi peragawati Victoria’s Secret, Alessandra kembali beraksi di pentas hanya tiga bulan selepas melahirkan bayinya.

Nama Alessandra mula dikenali apabila dipilih menjadi model jurucakap produk PINK keluaran Victoria’s Secret dan kini jelitawan Brazil ini menjadi satu daripada aset penting syarikat berkenaan.

Muzim gugur lalu, Alessandra, 28, melahirkan bayi pertamanya. Dia juga mengikat kontrak dengan rangkaian kedai C&A dan gedung beli-belah Mexico, Liverpool.



7. Natalia Vodianova (RM19.2 juta)

BARU saja dipilih pengeluar pakaian dalam wanita Perancis, Etam, Natalia masih berbakti kepada negara kelahirannya, Russia, dengan aktif dalam kegiatan kebajikan.

Pembabitannya dalam Yayasan Vodianova adalah contoh terbaik bagaimana seorang gadis melakar nama di persada dunia walaupun bermula di peringkat rendah.

Natalia, 27, lahir dan dibesarkan dalam keluarga miskin di Russia sebelum mampu berbangga dengan pencapaiannya sebagai model terkemuka.

Kini, dia menjadi model untuk Calvin Klein dan barang kemas Jacob & Co selepas menandatangani kontrak tiga tahun bersama Etam.

Selain menjadi duta Etam, Natalia turut diberi tanggung jawab mereka bentuk koleksi syarikat itu bagi setiap musim baru. Dia juga mengendalikan Yayasan Naked Heart yang aktif mengumpul dana untuk pembinaan padang permainan kanak-kanak di Russia.


8. Daria Werbowy (RM15.7 juta)

DARIA memulakan kerjaya sebagai model dengan memenangi satu pertandingan. Sejak itu dia mula mengukir nama sehingga wajahnya menjadi buruan banyak syarikat utama dunia, termasuk Lancome dan Louis Vuitton.

Walaupun menjadi warga Kanada, Daria lahir di Poland dan memiliki mata menggoda – sesuai bagi mempromosi produk jenama Balmain, H&M, Vogue Eyewear dan Roberto Cavalli.

Jun lalu Daria diterima menjadi tokoh terkemuka Kanada bersama ahli muzik, KD Lang dan pengarah filem, James Cameron.



9. Miranda Kerr (RM10.5 juta)

MODEL ini dikenali sebagai jelitawan Victoria’s Secret pertama dari Australia dan mula menjadi perhatian apabila wajahnya digunakan untuk melariskan jualan Maybelline.

Tahun lalu, Miranda menandatangani kontrak dengan XOXO, manakala awal tahun ini terbabit dalam kempen membantu mangsa kebakaran hutan Australia melalui program Australia Unites.



10. Carolyn Murphy (RM10.5 juta)

SATU-SATUNYA peragawati AS dalam senarai 10 supermodel terkaya tahun ini. Carolyn, 35, mengekalkan kedudukan dalam senarai hasil pendapatan daripada kontrak dengan Estée Lauder.

Carolyn juga menjadi wajah ikon fesyen AS. Kini berusia 35 tahun, majalah Playboy dan Sports Illustrated mungkin tidak lagi berminat padanya, namun kejayaannya bersama Estée Lauder memang mengagumkan.

Kekayaan Carolyn juga dijana daripada kontrak dengan Banana Republic dan Lord & Taylor.

0 Response to "Supermodel RM87 juta"

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme