Suami hantu

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my



KUANTAN: Angkara cemburu, seorang suri rumah berusia 32 tahun mendakwa diperlakukan seperti haiwan apabila kaki dan tangannya diikat sebelum badannya dibelasah suami sendiri, seorang peniaga kecil di rumah mereka di Bukit Setongkol di sini, Sabtu lalu.

Si suami dipercayai seorang yang cepat panas baran, sebelum itu membuat tuduhan melulu dengan mendakwa wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan bapa saudara lelaki terbabit.

Berikutan kejadian itu, mangsa cedera di seluruh badan selepas diseksa termasuk kepala dihentak ke dinding selain diugut bunuh lelaki berusia 41 tahun itu sepanjang dikurung tiga hari.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila mangsa cuba mempertahankan diri dan menafikan melakukan hubungan sulit seperti didakwa, namun suaminya yang berang enggan mempercayainya sebelum menyeksa wanita berkenaan.

Mangsa diseksa selepas pakaiannya ditanggalkan sebelum dipukul dalam keadaan hanya memakai pakaian dalam. Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit kemudian mengarahkan anak lelakinya berusia 14 tahun yang juga anak tiri mangsa, mengambil tali untuk mengikat tangan dan kaki mangsa.

Dua lagi anak pasangan itu, masing-masing seorang lelaki berusia lima tahun dan perempuan berusia tiga tahun, hanya mampu menangis selepas diberi amaran supaya diam.

Bagaimanapun, mangsa berpeluang membebaskan diri apabila suaminya tidur dan membuka ikatan pada kakinya, kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin.

Lebih menyedihkan lagi, mangsa terpaksa menggunakan ibu jari kaki untuk mendail talian kecemasan 999 bagi meminta bantuan sebelum menceritakan kejadian itu kepada pihak polis.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan yang tiba di rumah mangsa terpaksa memecahkan pintu rumah apabila lelaki terbabit enggan membukanya.

Katanya, polis menemui mangsa dalam keadaan lemah selain bengkak di muka serta luka pada pergelangan tangan sebelum menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, polis menahan suami mangsa yang sedang bersembunyi dalam bilik dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis ganja.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.

“Lelaki terbabit kini direman 14 hari di IPD Kuantan selain akan mengambil keterangan tiga anak mangsa bagi membantu siasatan lanjut.

“Suspek dipercayai dalam pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan itu selain dilakukan kerana bermotifkan cemburu,” katanya.


benangkasar

0 Response to "Suami hantu"

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme