Syarikat diserbu, RM20,000 jika lapor

sumber : hmetro.com.my
Oleh Afiq Hanif

afiq@hmetro.com.my

BERHATI-HATI atau terima padahnya!

Itulah amaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada mana-mana syarikat yang masih menggunakan perisian cetak rompak atau tidak berlesen dalam melaksanakan operasi syarikat.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Mohd Roslan Mahayudin, kementerian akan menggempur syarikat di negara ini bagi memastikan mereka tidak menggunakan perisian cetak rompak atau tidak berlesen.


"Kami bekerjasama rapat dengan Perikatan Perisian Perniagaan (BSA) dalam memastikan perkara ini dan sudah mengenalpasti senarai sasaran yang disyaki menggunakan perisian cetak rompak atau tidak berlesen di seluruh negara," katanya.


Roslan berkata, maklumat berkenaan syarikat diketahui melalui talian BSA yang mana orang ramai akan melaporkan kepada mereka sekiranya mengesyaki sesuatu organisasi beroperasi menggunakan perisian haram.

"Kami sudah menggerakkan operasi bagi mengesan syarikat yang berbuat demikian sepanjang Mei lalu dan beberapa syarikat dikenakan tindakan," kata Roslan.


Katanya, tiga syarikat diserbu pada dua minggu pertama Mei termasuk organisasi yang menjalankan perniagaan reka bentuk dalaman, pembungkusan dan pengiklanan di beberapa lokasi di Lembah Klang.

"Syarikat reka bentuk dalaman di Kota Kemuning, Selangor diserbu pada 5 Mei lalu sementara dua serbuan serentak dilakukan di Shah Alam dan Kuala Lumpur pada 18 Mei," katanya.


Beliau berkata, hasil serbuan di ketiga-tiga syarikat terbabit mendapati mereka menggunakan perisian tidak berlesen untuk aplikasi AutoCAD, 3ds MAX, Photoshop, Office dan Windows XP.

"Sebanyak 14 komputer peribadi dan 42 salinan perisian disyaki cetak rompak dirampas dengan anggaran nilai RM237,800," katanya.


Menurut Roslan, walaupun terdapat denda dan penalti yang dikeluarkan mahkamah untuk mereka yang menggunakan perisian cetak rompak bagi perniagaan mereka, masih ramai berdegil untuk menggantikannya kepada perisian asli.

"Kami akan terus mengambil inisiatif berdasarkan Akta Hak Cipta dan tidak teragak-agak mengeluarkan waran tangkap kepada pengarah atau pengurus kanan syarikat yang didapati bersalah dengan kegiatan tidak bertanggungjawab," katanya.



Pengarah Kanan, AntiCetak Rompak BSA Asia Pasifik, Tarun Sawney, berkata ganjaran sebanyak RM20,000 dikekalkan kepada pemberi maklumat yang memaklumkan kepada mereka mengenai kegiatan perisian perniagaan cetak rompak.

0 Response to "Syarikat diserbu, RM20,000 jika lapor"

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme